Wednesday, January 27, 2010

TUNAIKAN HAK ANDA!!! JOM MENGUNDI!!


Selamat mengundi kepada semua mahasiswa pendidik. Tunaikan hak anda yang dengan mengundi calon-calon yang berkelayakan. Undi anda menentukan corak kepimpinan pimpinan tertinggi mahasiswa dan barisan kabinet baru MPP di UPSI.

Sekadar seloka buat semua :-

Lompat si katak lompat,
lompat tinggi-tinggi,
Cepat ayuh cepat,
Kita pergi mengundi.

Sorong papan tarik undi,
Buah keranji di atas peti,
Suruh undi teruslah mengundi,
Biar dapat pemimpin berkualiti.

Dua tiga kucing berlari,
mana nak sama si kucing belang,
dua tiga boleh ku cari,
mana nak sama pemipin terbilang.

Buah cempedak di luar pagar,
ambik galah tolong jolokkan,
Kalau anda mahasiswa terpelajar,
Ayuh sama-sama buktikan.

Gerakan tangan jangan dilengah,
Hayunan kaki terus melangkah,
Luangkan masa turun menjengah,
Di meja undi kita memangkah.

Pistol membidik,
Peluru memacu,
Mahasiwa pendidik,
Universiti bermutu.

UNDILAH SAYA, UNDILAH MAHASISWA PENDIDIK!
"MAHASISWA PENDIDIK PENCETUS TRANSFORMASI"

MAHASISWA PENDIDIK MENYOKONG SUDUT PIDATO



Assalamualaikum wbt dan salam anak kandung suluh budiman.

Sudut pidato atau 'speaker corner' yang kembali diperkenalkan di beberapa IPT setelah hampir 40tahun diharamkan. Ini adalah suatu perkembangan positif dalam melahirkan mahasiswa yang berani bersuara serta berpendirian untuk menyatakan prinsip masing-masing.

Sudut ini dilihat mampu mengembalikan semula semangat mahasiwa yang kian lesu serta keintelektualannya yang semakin terhakis. saban tahun. Platform ini boleh digunakan oleh mahasiswa untuk menyuarakan pendapat secara terus. Ini adalah berdasarkan petikan kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, : ''Sudut pidato ini nanti mampu menjadi tempat pelajar menyuarakan pendapat atau perkara yang dirasakan perlu diketengahkan. Walaupun IPT ada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), ada segelintir pelajar tidak suka menyuarakan pendapat menggunakan saluran itu. Jadi, melalui sudut pidato ini, mereka bebas menyuarakan pendapat di depan pelajar lain, bukannya bercakap di belakang”.

TIMBALAN Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) menyaksikan sendiri seorang pelajar menyampaikan ucapan di Sudut Pidato selepas merasmikannya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 26 Januari. - Utusan


PERKEMBANGAN POSITIF

Saya selaku wakil mahasiswa pendidik menyokong sepenuhnya perkembangan positif ini. Platform yang ada ini perlulah digunakan sebaiknya oleh mahasiswa khusunya mahasiswa pendidik di UPSI sebagai medan menyuarakan pendapat di samping mampu mengasah bakat dalam pengucapan awam. Ini dilihat mampu mengembalikan semula kegemilangan universiti seterusnya meningkatkan lagi daya saing para mahasiwa dalam mengulas isu-isu sama ada isu dalaman mahupun isu di peringkat nasional.



Ayuh mahasiswa pendidik! Gunakan peluang yang ada untuk menyuarakan pendirian anda!!!

"MAHASISWA PENDIDIK PENCETUS TRANSFORMASI"

Tuesday, January 26, 2010

SUDUT PIDATO MASIH BELUM PANAS


SELEPAS 40 tahun diharamkan kerajaan, sudut pidato atau 'Speakers Corner' mula dilaksanakan di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) bertujuan memberi kebebasan kepada mahasiswa bersuara.


Namun, ia masih sepi dan bagaikan tidak mendapat sambutan mahasiswa. Mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Sofiyussalam Mohamad Johari, berkata pelaksanaan semula sudut pidato ibarat pengembalian hak kepada mahasiswa.


Katanya, mahasiswa harus boleh bersuara dan menyuarakan pendapat, tetapi hak itu dirampas dengan pengharamannya 40 tahun lalu.


"Pengharaman, sudut pidato lebih tiga dekad itu bagaikan menafikan hak mahasiswa untuk bersuara.


"Ini kerana sebagai mahasiswa, kami mempunyai hak untuk bersuara dan melontarkan pendapat mengenai sesuatu perkara.

"Ia adalah saluran atau cara terbaik melontarkan idea dan pandangan di samping membentuk kepimpinan di kalangan mahasiswa. "Justeru, saya dan mahasiswa lain menyambut baik pelaksanaannya," katanya.


Bagaimanapun, menurutnya, sambutan terhadap sudut pidato itu masih kurang menggalakkan. Menurutnya, perkara itu mungkin disebabkan ia sudah lama tidak dilaksanakan dan mahasiswa tiada gambaran sebenar terhadap sudut pidato itu sendiri.


Dari segi pelaksanaannya pula, kata Sofiyussalam, pemantauan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) adalah perlu, tetapi bukan menentukan sesuatu tajuk yang disampaikan pelajar.


"Pemantauan HEP perlu kerana tidak mahu sudut pidato ini digunakan untuk kepentingan mana-mana pihak.


"Tetapi tajuk atau isu yang mahu disampaikan pelajar biarlah bebas tidak kira mengenai politik atau ekonomi asalkan tidak menyentuh sentimen perkauman dan agama," katanya.


Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Nasir Mohamed Nazri berpendapat pelaksanaan sudut pidato berasaskan kepada tiga perkara iaitu kemahiran berkomunikasi, jalinan perhubungan dan tanggungjawab.


"Dengan sudut pidato, pelajar boleh mempertingkatkan kemahiran komunikasi di samping menjalinkan perhubungan yang baik sesama mereka.

"Dan paling penting, mereka boleh melatih diri untuk lebih bertanggungjawab dengan setiap pandangan atau hujah yang disampaikan.


"Mahasiswa perlu jelas dengan maklumat yang disampaikan dan menggunakan fakta, bukan cakap kosong," katanya.


Mengulas mengenai pelaksanaan sudut pidato di UKM, katanya, ia masih belum digunakan sepenuhnya oleh mahasiswa.

(SUMBER : HARIAN METRO)

Monday, January 25, 2010

PRK, MAHASISWA PENDIDIK & KEPIMPINAN

Kehangatan pilihanraya kampus (PRK) kian terasa. Apatah lagi sebagai calon umum seperti saya, tekanan demi tekanan serta cabaran diterima hampir saban hari. Namun, itu bukan alasan untuk saya berundur. Apabila menyebut tentang PRK, ia secara terus dikaitakn tentang kepimpinan.

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab dengan pimpinannya." (Muttafaqun 'Alaih)

Begitulah hadis yang mengatakan bahawa kita semua adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.

PENDIDIK SEBAGAI PEMIMPIN

Bagi bakal guru, kepimpinan perlulah sebati dalam diri masing-masing. Adalah tidak cukup hanya menjadi pemimpin kepada diri-sendiri. Perlunya kesedaran mahasiswa pendidik dalam menerima hakikat bahawa bidang pendidikan memerlukan guru sebagai pendidik yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.



Mahasiswa harus sedar dari mimpi, kembali kepada realiti


Guru pada zaman sekarang bukan hanya untuk mengajar, tetapi juga untuk mendidik, iaitu memimpin pelajar-pelajar dari segi akademik mahupun sahsiah. Seharusnya, mahasiswa pendidik perlu sedar isu-isu kepimpinan perlu diambil berat serta diperkemaskan dalam diri masing-masing.


KEPIMPINAN : SUATU AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB

Pemimpin dari kacamata Islam bukanlah suatu kedudukan yang boleh dianggap istemewa atau perlu dijadikan rebutan kerana ia adalah sebenarnya suatu takhlif (amanah dan tanggungjawab) dan bukan tashrif (kebesaran dan kemegahan). Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada Abu Dzar Al-Ghifari yang memohon satu jawatan untuk mentadbir Wilayah Islam dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah,pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan,kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggungjawabkan”

Amanah yang dimaksudkan di sini bukan setakat menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepadapengikut (rakyat) yang dipimpin, akan tetapi yang lebih diutamakan oleh islam adalah menyempurnakan amanah kepada Allah SWT. Kerana itu, dalam soal melantik atau memilih seorang pemimpin, para Ulama terdahulu menggariskan bahawa dua sifat penting yang perlu diambil kira dan dititikberatkan iaitu:

1. Quwwah (kekuatan, keupayaan mentadbir dan mengurus) dan
2. Amanah.


CIRI-CIRI PEMIMPIN

Islam telah memberi panduan tentang ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin. Islam amat mementingkan kesejahteraan masyarakat. Maka inilah sebabnya Islam menekankan bahawa setiap pemimpin yang dipilih atau dilantik harus memiliki sifat amanah dan rasa bertanggungjawab. Justeru seorang pemimpin sejati itu harus mempunyai nilai-nilai berikut:-

1. Pemimpin sejati bukan hanya pandai bermimpi tetapi berupaya membikin mimpi jadi realiti.
2. Pemimpin sejati melihat matlamat penuh tekad tak dihiraukannya suara-suara hasad.
3. Pemimpin sejati tidak gentar didepani kritikan bahkan kritikan terus memacunya untuk berjuang.
4. Pemimpin sejati tinggi jati diri, tidak mabuk sensasi.
5. Pemimpin sejati bukan melukai tetapi mengubati.
6. Pemimpin sejati tidak berdukakala dipinggirkan tidak kecewa walau tak dihargai, kerana
matlamatnya hanyalah redha Illahi.
7. Pemimpin sejati tidak mudah menyalahkan rakan atau bawahan, tetapi bersama mencari penyelesaian dan pendekatan.
8. Pemimpin sejati tidak khuatir kebolehan kawan, tidak bimbang kelebihan rakan, tetapi memanfaatkan semua potensi itu untuk kejayaan bersama.
9. Pemimpin sejati ikhlas dan tegas, bukan culas dan waswas.
10. Pemimpin sejati bersiap menyediakan pelapis berwibawa, tidak dihantui ‘saingan kerusi’ lalu mencantas saudara sendiri.
11. Pemimpin sejati jatuh tidak mengheret lawan, naik tidakmenginjak kawan.
12. Pemimpin sejati berterus terang dan memilih keterbukaan,tidak merendahkan rakan dan menutup pandangan bawahan.
13. Pemimpin sejati berjuang untuk menang bersama,jika rebah bangkit semula, maju untuk
satu jemaah (organisasi)
14. Pemimpin sejati menjadikan organisasi wadah perjuangan, bukan juadah mengaut keuntungan.
15. Pemimpin sejati bukan meninjau dari atas, tetapi sering turun kebawah sambil bermuhassabah.
16. Pemimpin sejati tidak ‘mengarah’ tetapi membimbing menunjuk arah.

(sumber :- sabah.gov.my/jheains/sebaranamweb/.../khutbah 20 april.pdf)


Demikianlah serba sedikit cirri-ciri kepimpinan yang didasari oleh Islam. Suka untuk saya kongsi di sini ciri-ciri di atas memandangkan mahasiswa pendidik bakal menjadi pemimpin. Pemimpin untuk anak-anak bangsa di sekolah nanti. Ciri-ciri di atas tidak semua saya miliki, namun saya mencuba untuk melengkapkan ke arah ciri-ciri itu. Insya-ALLAH!!!


"MAHASISWA PENDIDIK PENCETUS TRANSFORMASI"

Sunday, January 24, 2010

PRK : MAHASISWA HARUS AMBIL PEDULI

Bahang pilihanraya kampus semakin hangat dirasai di IPTA mahupun IPTS di seluruh negara. Bulan Januari menyaksikan beberapa kampus utama seperti UIA, UM, UMT danlain-lain juga termasuk UPSI bakal mengadakan pilihanraya kampus. Pemimpin peringkat university bakal dipilih oleh para mahasiswa yang berkelayakan untuk mengundi.



KETIDAKPEDULIAN MAHASISWA
Namun, realitinya di kampus-kampus termasuk UPSI, ketidakpedulian mahasiswa dalam pentingnya pilihanraya kampus amat membimbangkan. perkara ini tidak seharusnya berlaku memandangkan mahasiswa seharusnya mempunyai daya keintelektualan serta perlu prihatin kepada isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka. Mahasiswa bukan lagi seperti pelajar sekolah yang hanya menunggu serta menerima apa yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dari sudut dasar atau sebagainya. Tetapi tidak bagi mahasiswa. Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpun mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu kebajikan mereka, yang boleh mengendalikan pesta konvokesyen, forum dan juga pelbagai program intelektual lain.

Sikap ketidakpedulian ini akan membawa kepada terpilihnya pemimpin yang kadang-kadang tidak layak untuk menjadi suara serta telinga kepada mahasiswa. Jadi, akan berlakulah terlepas pandang serta pengabaian hak-hak mahasiswa.

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP)


"Menelusuri kembali tujuan diadakan pilihanraya kampus ialah bagi memilih pemimpin pelajar yang benar-benar berkualiti bagi menerajui kepimpinan majlis perwakilan pelajar (MPP). MPP berfungsi sebagai mata ,telinga pelajar dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang pengajian disini.Ini bermakna pemimpin yang dipilih memepunyai tanggungjawab yang berat dan mereka benar-benar ‘viable’ dan berkarisma dalam memberikan perkhidmatan terbaik terhadap masyarakat kampus.Berkarisma ialah kata kunci yang paling tepat kepada penulis jika ditanya kriteria yang diperlukan bagi seorang pemimpin pelajar. Karisma mempunyai konotasi yang cukup luas yakni merangkumi cara bekerja,pesonaliti,ekspresi idea,berakhlak dan tidak dilupakan interaksi sosial yang baik.Tambahan pula,Falsafah pendidikan negara dan mana-mana pusat pengajian tinggi di dunia ini mengharapkan untuk menghasilkan pelajar yang versatile dan serba boleh.Pendidikan negara kita bersifat holistik bagi menghasilkan ‘insan kamil’ yang sempurna sifatnya.Agak malang,apabila pendidikan hanya dijadikan alat untuk menghasilkan pekerja mahir sahaja.Persepsi ini salah dan perlu diperbetulkan. Justeru,pilihanraya kampus merupakan ruang yang paling sesuai untuk mencapai tujuan tersebut.Golongan pemimpin muda ini diharapkan benar-benar ampuh setelah melalui pelbagai ranjau kepimpinan kampus untuk menerajui kepimpinan negara kelak.Pilihanraya kampus merupakan salah satu proses wajib yang perlu dilalui bagi seorang pemimpin pelajar.Bak kata pepatah,proses kepimpinan ibarat menghasilkan air suling dimana air tersebut perlu melalui pelbagai peringkat proses penapisan dan sulingan sebelum menjadi air tulen.."

(kredit : http://freewebs.com/suaraanum/020102.htm)



Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sahabat-sahabat seperjuangan di luar sana untuk turun mengundi pada pilihanraya kampus kali ini. Tunaikanlah hak anda sebagai pengundi. Pilihlah pemimpin yang dirasakan layak untuk memimpin anda, jangan hanya terpaut pada hidangan manifesto semata-mata tetapi perhatikanlah juga kredibiliti serta karismatik yang ada pada seseorang calon itu. Jadi, jom mengundi! Selamat mengundi!