Saturday, April 17, 2010

Pakatan Rakyat Punyai Kelebihan di Hulu Selangor


Proses penamaan calon telah berlangsung dan tamat sekitar pukul 11.30 pagi tadi. suruhanjaya Pilihanraya telah mengumumkan seramai 4 orang calon yang layak bertanding dalam pilihanraya kecil P094 kawasan Hulu Selangor ini. Mereka ialah P Kamalanathan (BN), Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dan dua calon Bebas VS Chandran dan Johan Mohd Diah.

Tempoh kempen sudahpun bermula dan parti politik yang bertanding dilihat sudah bersedia mempersiapkan jentera masing-masing. Bilik gerakan di setiap bahagian telahpun kelihatan untuk dijadikan pusat khidmat dan post jentera.

Dalam perkembangan terbaru, Datuk Zaid Ibrahim dilihat sebagai calon yang berpotensi untuk menang dalam pengundian kali ini. Masalah dalaman MIC berkaitan pemilihan calon masih lagi belum selesai di peringkat akar umbi kerana mereka lebih minat G Palanivel. Keadaan ini menyebabkan ramai jentera mereka yang 'bungkus badan' sebagai tanda protes kepada pimpinan Perdana Menteri kerana memilih calon bukan pilihan.

Zaid Ibrahim dalam kenyataannya semalam menyatakan keyakinan yang tinggi kepada kaum Melayu yang menjadi pemilih majoriti dalam kawasan P094 ini. Isu berkaitan kerajaan Malaysia dengan APCO pun masih lagi belum jelas kepada rakyat, kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional makin menurun.

Walaubagaimanapun semua ini terserah di atas kebijakan rakyat dalam menentukan siapa wakil mereka yang mampu untuk membela dan membawa suara mereka di parlimen nanti. Sama ada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau Ketua Penerangan MIC pusat. Penentu segalanya adalah di tangan rakyat.