Monday, March 29, 2010

Anwar Ibrahim : 2 Malaysia


Pakatan Rakyat membawa slogan 'Selamatkan Malaysia' dilihat memberi tamparan hebat kepada Barisan Nasional apabila mampu menarik perhatian rakyat terhadap segala masalah yang berlaku dalam negara pada masa kini.

Kempen tersebut yang dirasmikan oleh ketua pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kuala Kubu Baru baru-baru ini. Kehadiran masyarakat Hulu Selangor pada malam tersebut menunjukkan sokongan rakyat kepada PR masih lagi tinggi.

Anwar Ibrahim dalam ceramahnya pada malam tersebut meletakkan negara malaysia berada dalam dua dimensi. Dengan nada yang keras beliau menamakannya dengan 2Malaysia. Pertama malaysia yang dikuasai oleh golongan atasan. Mereka ini apabila melakukan apa sahaja kesalahan walau kes berat sekalipun akan terlepas, ujarnya.

Manakala golongan kedua ialah masyarakat seperti kita ni (rakyat biasa). Kalau buat silap mesti kena hukuman yang berat, bukan setakat itu sahaja malahan yang tak dibuat pun difitnah. Beliau mengaitkan perkara ini dengan situasi yang terpaksa dihadapi oleh beliau sendiri.

Walaubagaimanapun asas kepada hal tersebut adalah releven. Jika kita melihat kes-kes yang berprofil tinggi dalam negara kebanyakannya pada permulaanya sahaja mahu disiasat hingga akar umbi, lama kelamaan senyap dan akhirnya kes tersebut selesai tanpa keputusan. Berbeza pula dengan kes yang dihadapi pihak pembangkang walaupun hanya melibatkan tuduhan liar tetapi cepat dan tangkas pula diambil dan dibuka kertas siasatan.

Amalan begini harus dihentikan bagi memberi keyakinan rakyat terhadap mana-mana institusi negara samada polis, tentera, badan kehakiman, peguam negara dan sebagainya. Kerajaan harus bersikap adil terhadap semua perkara, dan saya yakin dengan kematangan rakyat sudah pasti jika kerajaan gagal melaksanakan apa yang sepatutnya maka rakyat akan melakukan keadilan tersebut dalam pilihanraya akan datang.

Tuesday, March 23, 2010

USM Anjur Konvensyen Penghayatan Islam dan Kelestarian


Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) USM telah berjaya menganjurkan satu program yang dapat memberi kesedaran tentang kepentingan alam semulajadi dan juga suruhan agama yang mengajar manusia supaya sentiasa menjaga alam ini daripada kemusnahan.

"...apabila dikatakan kepada mereka : ' janganlah kamu membuat kerosakan di bumi, mereka jawab : ' sesungguhnya kami hanya membuat kebaikan '. Ketahuilah! bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (al-Baqarah : 11-12).

Firman Allah tersebut jelas menunjukkan betapa angkuhnya manusia mentabik dada di atas muka bumi ciptaan tuhan ini. Ciptaan tuhan di muka bumi ini semuanya sedang mengalami kemusnahan yang teruk akibat tangan-tangan manusia yang pantas melakukan pelbagai aktiviti.

Menurut seorang pembentang kertas kerja pada konvensyen tersebut, En. Mohd Nizam Mahshar, terdapat 80 buah negara dengan 40% populasi dunia menderita akibat kekurangan air yang serius. 25% batu karang dunia musnah dengan teruk beberapa dekad yang lalu dan 35% kawasan hutan bakau juga telah pupus pada masa ini. Selain itu, lebih kurang 10-30% spesies mamalia mangalami ancaman dan kepupusan.

Sumber alam tersebut harus dipelihara agar anak muda jenerasi akan datang sempat untuk merasai kehidupan yang sempurna. Keindahan alam harus dijaga supaya ekosistem yang ada dapat berfungsi dengan sempurna dan faedahnya dapat dinikmati sampai bila-bila.

" Dunia ini hijau dan cantik dan tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan (HR Muslim) ".

Friday, March 19, 2010

Orang Asli Memenuhi Putrajaya


Kedatangan orang asli yang begitu ramai sehingga memenuhi ruang dataran Putrajaya telah memberi tekanan yang hebat kepada pihak kerajaan. Ekoran itu maka keluarlah kenyataan daripada seorang pak menteri yang menyatakan bahawa orang asli hanya datang 'jalan-jalan'.

Kenyataan yang tidak bertanggungjawab tersebut telah disanggah oleh presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) Majid Suhut. Beliau memberi tegasan bahawa kehadiran lebih 2000 orang asli di putrajaya adalah dengan membawa harapan yang besar selain hadir untuk melihat sendiri memorandom tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri.

Memorandum tersebut dihantar adalah bagi memberi isyarat kepada pihak kerajaan bahawa kebajikan orang asli juga patut dijaga sebaiknya. Mereka memprotes apabila banyak tanah tempat mereka tinggal dan duduki dirampas kerajaan untuk tujuan pembangunan. Mereka hadir dengan penuh semangat berhimpun dan menunggu untuk menyerahkan memorandom.

Kehadiran lebih 2000 orang tersebut dengan membawa banner dan kain-kain bertulis yang diangkat semasa perhimpunan tersebut telah mengesahkan bahawa mereka bukan datang 'main-main'. Kehadiran mereka harus dipandang serius oleh pihak kerajaan supaya setiap msyarakat dalam negara berada dalam keadaan aman dan adil.

Friday, March 12, 2010

Pernikahan 'kanak-kanak' Meruntuhkan Masyarakat




Mutakhir ini dapat kita lihat bagaimana suasana kehidupan masyarakat yang pelbagai. Terbaru kita dihidangkan dengan paparan pernikahan kanak-kanak berumur 11 tahun. Kita harus melihat tujuan sebenar perkahwinan dilangsungkan. Selain daripada mengikut sunnah ia juga adalah bersangkutan dengan pembinaan sebuah keluarga.

Perkara sebegini harus dielakkan dalam masyarakat kita kerana ia bakal menimbulkan pelbagai kesulitan kelak. Cuba kita bayangkan apabila kanak-kanak tersebut mengandung dan melahirkan zuriat. Dalam usianya yang begitu mentah apakah mampu untuk dia menjaga bayinya dengan sempurna. Maka akan lahirkan sekumpulan kanak-kank yang terbiar jagaannya dan mereka membesar tanpa belaian yang sempurna sehingga menyebabkan institusi keluarga yang dibina tidak akan bahagia.

Perkahwinan ini sebenarnya hanya berlandaskan nafsu semata-mata. Banyak lagi perkara sunnah yang boleh dilakukan walhal dalam bab munakahat ini sekalipun. Kefahaman masyarakat terhadap ilmu agama adalah amat penting bagi memastikan segala tingkah laku yang kita lakukan adalah berlandaskan kepada ajaran daripada Allah.

Penyuburan iman adalah sangat penting kerana ia boleh mendidik nafsu dan jiwa kita untuk dekat dan patuh kepada perintah Allah. Bukan hanya apabila melibatkan kepentingan diri dan nafsu maka ia diungkap sebagai sunnah. Pada saya ini bukan lagi sunnah tetapi sudah menjadi 'punnah'. Sebab itu al-Quran dan al-sunnah harus dikaji dan diteliti seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian dari pelbagai aspek.

Sunday, March 7, 2010

Perjumpaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Seluruh Malaysia

BANGI 06 Mac - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) seluruh malaysia telahpun bertemu buat kali pertama hari ini. Dengan kehadiran lebih 200 orang wakil MPP dari seluruh IPTA yang bertempat di Institut KWSP (ESSET) telah menunjukkan komited mereka terhadap segala isu berkaitan kepentingan mahasiswa akan cuba diselesaikan.

Pertemuan selama satu hari tersebut memberikan peluang kepada semua MPP yang mewakili seluruh siswa-siswi universiti masing-masing untuk membawa isu yang berkaitan dan kepentingan bersama.

Tujuan perjumpaan ini diadakan adalah untuk membincangkan perkara yang akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) nanti. MPPK merupakan platform terbaik untuk wakil MPP membawa isu semasa yang kritikal untuk dibentangkan di hadapan YAB Timbalan Perdana Menteri.

Mesyuarat tersebut juga difahamkan akan melibatkan jemaah menteri yang terlibat dalam menyelesaikan masalah atau isu yang dibawa oleh MPPK tersebut.

Hasil daripada perbincangan hari ini, maka sebanyak 10 isu yang akan dirangka dan diproses seterusnya akan diterjemahkan dalam bentuk kertas kerja. Maka 5 daripadanya akan dipilih sendiri oleh TPM dan akan dibincangkan dalam MPPK nanti.

"saya harapkan persidangan MPPK yang akan diadakan tersebut akan menjadi satu pentas untuk mahasiswa bersuara dan diambil serius oleh pihak kerajaan untuk mencari jalan penyelesaiannya dan bukan hanya menjadi satu perkara yang retorit semata-mata."