Kehangatan pilihanraya kampus (PRK) kian terasa. Apatah lagi sebagai calon umum seperti saya, tekanan demi tekanan serta cabaran diterima hampir saban hari. Namun, itu bukan alasan untuk saya berundur. Apabila menyebut tentang PRK, ia secara terus dikaitakn tentang kepimpinan.
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab dengan pimpinannya." (Muttafaqun 'Alaih)
Begitulah hadis yang mengatakan bahawa kita semua adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.
PENDIDIK SEBAGAI PEMIMPIN
Bagi bakal guru, kepimpinan perlulah sebati dalam diri masing-masing. Adalah tidak cukup hanya menjadi pemimpin kepada diri-sendiri. Perlunya kesedaran mahasiswa pendidik dalam menerima hakikat bahawa bidang pendidikan memerlukan guru sebagai pendidik yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.
Guru pada zaman sekarang bukan hanya untuk mengajar, tetapi juga untuk mendidik, iaitu memimpin pelajar-pelajar dari segi akademik mahupun sahsiah. Seharusnya, mahasiswa pendidik perlu sedar isu-isu kepimpinan perlu diambil berat serta diperkemaskan dalam diri masing-masing.
KEPIMPINAN : SUATU AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB
Pemimpin dari kacamata Islam bukanlah suatu kedudukan yang boleh dianggap istemewa atau perlu dijadikan rebutan kerana ia adalah sebenarnya suatu takhlif (amanah dan tanggungjawab) dan bukan tashrif (kebesaran dan kemegahan). Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada Abu Dzar Al-Ghifari yang memohon satu jawatan untuk mentadbir Wilayah Islam dalam sabdanya yang bermaksud:
“Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah,pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan,kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggungjawabkan”
Amanah yang dimaksudkan di sini bukan setakat menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepadapengikut (rakyat) yang dipimpin, akan tetapi yang lebih diutamakan oleh islam adalah menyempurnakan amanah kepada Allah SWT. Kerana itu, dalam soal melantik atau memilih seorang pemimpin, para Ulama terdahulu menggariskan bahawa dua sifat penting yang perlu diambil kira dan dititikberatkan iaitu:
1. Quwwah (kekuatan, keupayaan mentadbir dan mengurus) dan
2. Amanah.
CIRI-CIRI PEMIMPIN
Islam telah memberi panduan tentang ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin. Islam amat mementingkan kesejahteraan masyarakat. Maka inilah sebabnya Islam menekankan bahawa setiap pemimpin yang dipilih atau dilantik harus memiliki sifat amanah dan rasa bertanggungjawab. Justeru seorang pemimpin sejati itu harus mempunyai nilai-nilai berikut:-
1. Pemimpin sejati bukan hanya pandai bermimpi tetapi berupaya membikin mimpi jadi realiti.
2. Pemimpin sejati melihat matlamat penuh tekad tak dihiraukannya suara-suara hasad.
3. Pemimpin sejati tidak gentar didepani kritikan bahkan kritikan terus memacunya untuk berjuang.
4. Pemimpin sejati tinggi jati diri, tidak mabuk sensasi.
5. Pemimpin sejati bukan melukai tetapi mengubati.
6. Pemimpin sejati tidak berdukakala dipinggirkan tidak kecewa walau tak dihargai, kerana
matlamatnya hanyalah redha Illahi.
7. Pemimpin sejati tidak mudah menyalahkan rakan atau bawahan, tetapi bersama mencari penyelesaian dan pendekatan.
8. Pemimpin sejati tidak khuatir kebolehan kawan, tidak bimbang kelebihan rakan, tetapi memanfaatkan semua potensi itu untuk kejayaan bersama.
9. Pemimpin sejati ikhlas dan tegas, bukan culas dan waswas.
10. Pemimpin sejati bersiap menyediakan pelapis berwibawa, tidak dihantui ‘saingan kerusi’ lalu mencantas saudara sendiri.
11. Pemimpin sejati jatuh tidak mengheret lawan, naik tidakmenginjak kawan.
12. Pemimpin sejati berterus terang dan memilih keterbukaan,tidak merendahkan rakan dan menutup pandangan bawahan.
13. Pemimpin sejati berjuang untuk menang bersama,jika rebah bangkit semula, maju untuk
satu jemaah (organisasi)
14. Pemimpin sejati menjadikan organisasi wadah perjuangan, bukan juadah mengaut keuntungan.
15. Pemimpin sejati bukan meninjau dari atas, tetapi sering turun kebawah sambil bermuhassabah.
16. Pemimpin sejati tidak ‘mengarah’ tetapi membimbing menunjuk arah.
(sumber :- sabah.gov.my/jheains/sebaranamweb/.../khutbah 20 april.pdf)
Demikianlah serba sedikit cirri-ciri kepimpinan yang didasari oleh Islam. Suka untuk saya kongsi di sini ciri-ciri di atas memandangkan mahasiswa pendidik bakal menjadi pemimpin. Pemimpin untuk anak-anak bangsa di sekolah nanti. Ciri-ciri di atas tidak semua saya miliki, namun saya mencuba untuk melengkapkan ke arah ciri-ciri itu. Insya-ALLAH!!!
"MAHASISWA PENDIDIK PENCETUS TRANSFORMASI"
No comments:
Post a Comment