Tuesday, January 26, 2010

SUDUT PIDATO MASIH BELUM PANAS


SELEPAS 40 tahun diharamkan kerajaan, sudut pidato atau 'Speakers Corner' mula dilaksanakan di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) bertujuan memberi kebebasan kepada mahasiswa bersuara.


Namun, ia masih sepi dan bagaikan tidak mendapat sambutan mahasiswa. Mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Sofiyussalam Mohamad Johari, berkata pelaksanaan semula sudut pidato ibarat pengembalian hak kepada mahasiswa.


Katanya, mahasiswa harus boleh bersuara dan menyuarakan pendapat, tetapi hak itu dirampas dengan pengharamannya 40 tahun lalu.


"Pengharaman, sudut pidato lebih tiga dekad itu bagaikan menafikan hak mahasiswa untuk bersuara.


"Ini kerana sebagai mahasiswa, kami mempunyai hak untuk bersuara dan melontarkan pendapat mengenai sesuatu perkara.

"Ia adalah saluran atau cara terbaik melontarkan idea dan pandangan di samping membentuk kepimpinan di kalangan mahasiswa. "Justeru, saya dan mahasiswa lain menyambut baik pelaksanaannya," katanya.


Bagaimanapun, menurutnya, sambutan terhadap sudut pidato itu masih kurang menggalakkan. Menurutnya, perkara itu mungkin disebabkan ia sudah lama tidak dilaksanakan dan mahasiswa tiada gambaran sebenar terhadap sudut pidato itu sendiri.


Dari segi pelaksanaannya pula, kata Sofiyussalam, pemantauan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) adalah perlu, tetapi bukan menentukan sesuatu tajuk yang disampaikan pelajar.


"Pemantauan HEP perlu kerana tidak mahu sudut pidato ini digunakan untuk kepentingan mana-mana pihak.


"Tetapi tajuk atau isu yang mahu disampaikan pelajar biarlah bebas tidak kira mengenai politik atau ekonomi asalkan tidak menyentuh sentimen perkauman dan agama," katanya.


Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Nasir Mohamed Nazri berpendapat pelaksanaan sudut pidato berasaskan kepada tiga perkara iaitu kemahiran berkomunikasi, jalinan perhubungan dan tanggungjawab.


"Dengan sudut pidato, pelajar boleh mempertingkatkan kemahiran komunikasi di samping menjalinkan perhubungan yang baik sesama mereka.

"Dan paling penting, mereka boleh melatih diri untuk lebih bertanggungjawab dengan setiap pandangan atau hujah yang disampaikan.


"Mahasiswa perlu jelas dengan maklumat yang disampaikan dan menggunakan fakta, bukan cakap kosong," katanya.


Mengulas mengenai pelaksanaan sudut pidato di UKM, katanya, ia masih belum digunakan sepenuhnya oleh mahasiswa.

(SUMBER : HARIAN METRO)

No comments: