Monday, August 2, 2010

Mahasiswa mesti daftar undi sahut cadangan Dato’Saifuddin ,Pemuda UMNO

Kita menyahut seruan Dato’ Saifuddin dan Pemuda UMNO dengan menyeru rakan-rakan supaya menyatakan pendirian politik kita dalam PRU 13 akan datang dengan daftar diri sebagai pemilih segera”.

Memilih sebuah kerajaan yang adil, tidak ada rasuah, menguruskan wang rakyat dengan baik adalah tanggungjawab kita mahasiswa. Oleh itu kita perlu mendafatar sebagai pemilih . Daftarlah di pusat pendafataran termasuk di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Pejabat Pilihan Raya Negeri, semua Pejabat Pos Berkomputer dan lain-lain.

Dalam hal berkaitan, baru-baru ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf mendedahkan statistic 1.9 juta atau 43 peratus daripada 4.3 juta pengundi Melayu yang layak mengundi belum mendaftar sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga Mac . Ini kerana kurang rasa tanggungjawab menunaikan hak sebagai warga negara, tidak peka situasi politik tanah air dan gemar mendaftar pada saat akhir.

Katanya “belia Melayu kurang kesedaran mendaftar sebagai pengundi walaupun sudah berusia lebih 21 tahun. Biasanya, apabila menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, barulah mereka sibuk mendaftar”.

Setuju Dato’ Saifuddin benarkan pensyarah, mahasiswa berpolitik

Bagi kita mahasiswa Malaysia , politik sering kali menjadi sinonim dengan dogma kotor, jijik dan sebagainya. Tetapi sebenarnya yang menjijikkan politik adalah manusia yang berpolitik itu. Korupsi, kroni-kapitalis, racial, poitik ampu , politik undi dan sebagainya adalah manifestasi yang lahir akibat daripada orang berilmu (termasuk mahasiswa dan pensyarah) tidak endah politik maka politik diisi oleh mereka yang tidak berilmu.

Kerana manusia yang berpolitik itu tidak mendasarkan politiknya kepada ilmu, hikmah dan amalan demokrasi yang tulus maka pelbagai masalah termasuk sosial masyrakat tidak dapat ditangani dengan serius.

Mahasiswa dan AUKU adalah sinonim dengan paradigma ‘jangan terlibat politik nanti kena AUKU’. Doktrin ini cukup mencengkam pemikiran mahasiswa kini dari berasa bahawa politik itu sebahgain dari fitrah kehidupan manusia yang tidak dapat ditolak.

Kalau dulu menurut Junaidi Abu Bakar (1993) dalam bukunya Mahasiswa Politik dan Undang-undang menyatakan bahawa setelah AUKU dikuatkuasakan ,penglibatan mahasiswa dalam politik mulai dikongkong, para pelajar hanya dibenarkan menyertai aktiviti diluar kampus dengan syarat mendapat kelulusan bertulis dari naib canselor dahulu. Tidak dibenar terlibat demonstrasi dan sebagainya.

Kini, adakah kita melihat bahawa AUKU berubah, mampu mengubah dan menyedarkan mahasiswa tentang politik walau pun telah dipinda ‘sedikit’ pada tahun 2008 ? Atau masih sama seperi yang disebut oleh Junaidi Abu Bakar 17 tahun dulu? Saya melihat ianya masih sama.

Oleh itu, saya bersetuju dengan pandangan Dato’ Saifuddin Abdullah (gambar), Tim. Menteri Pengajian Tinggi berhubung cadangan benarkan mahasiswa dalam politik. Bersetuju juga dengan cadangan Pemuda UMNO supaya pensyarah dan mahasiswa di benarkan berpolitik.

Sebab apa? Sebab mereka akan memainkan peranan bagi menjernihkan suasana dengan politik ilmu dan hikmah dari sebarang keburukan, kerosakan yang tidak diingini termasuk menjadi ‘pressure group dan agen ‘check and balance’ kepada kerajaan (baik UMNO mahupun Pakatan Rakyat) dalam menetapkan sesuatu dasar penting Negara. Mereka adalah ‘civil society’ yang tiada kepentingan peribadi dalam menyatakan pandangan.

Mahasiwa golongan yang perlu dididik dalam lapangan dan kancah politik supaya mereka lebih matang dalam masa sama tidak melupakan ‘core business’ mereka iaitu bergelumang dengan duina keilmuan akademik. Pensyarah pula golongan yang terdidik, professional , akademician , pengkaji dan boleh memahami suasana sebenar politik, maka wajar mereka dibenarkan terlibat seperti juga para guru DG 41 dan DG 48 yang dibenar berpolitik baru-baru ini.

Thursday, July 8, 2010

Selamat Datang Kepada Mahasiswa Baru


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Atas nama persahabatan yang abadi. Kami mengucapkan selamat datang buat seluruh mahasiswa pendidik baru angkatan 2010 di kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kami juga mengucapkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk bertemu dengan sahabat-sahabat warga baru sekalian.

Segala penat lelah dan usaha yang bersungguh-sungguh yang telah dilakukan akhirnya terbayar dengan kejayaan sahabat-sahabat sekalian melangkahkan kaki di Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk meneruskan pelajaran dalam bidang pilihan masing-masing. Sekalung tahniah diucapkan kepada semua.

Suasana dan keadaan sebelum berada di alam kampus amat berbeza berbanding di alam kampus dari segi cara hidup, budaya, bahasa, tanggungjawab dan pelbagai lagi. Saya yakin saudara dan saudari akan menempuh pelbagai cabaran dan pengalaman baru apabila meneruskan pengajian nanti. Lihatlah perkara tersebut sebagai peluang yang perlu direbut untuk menjadikan diri kita lebih baik daripada yang sebelumnya.

Keharmonian hubugan antara kaum India, Cina, Etnik Sabah , Sarawak dan lain-lain sentiasa kita perkukuhkan demi kesehteraan bersama. Semangat persaudaraan antara kita sewajarnya diperteguhkan. Semoga kita dapat meneruskan perjuangan dengan penuh toleransi dan tanggungjawab bersama demi kedamaian sejagat.

Bagi muslim, kita meyakini segalanya terjadi atas kehendak-Nya. Maka, hargai dan syukurilah segala kurniaan-Nya dengan sebaik mungkin. Misi kehidupan kita sebagai Hamba-Nya adalah merupakan hakikat kejadian kita diciptakan. Jadikanlah cara hidup Islam sebagai cara hidup kita dan serlahkanlah kemuliaan Islam di atas segala cara hidup yang lain.

Kami barisan kepimpinan Mahasiswa Pendidik mengalu-alukan kedatangan saudara dan saudari ke Univesiti Pendidikan Sultan Idris dan menjemput anda semua untuk menyertai program-program dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat buat kita semua sepanjang berada di bumi pendidikan ini. Moga-moga kita dipermudahkan dalam segala urusan.

Sekalung Tahniah dan Selamat Memulakan Pengajian.

”MAHASISWA PENDIDIK PENCETUS TRANSFORMASI”

Wednesday, May 5, 2010

“Saya tidak berpuas hati terhadap AUKU” – Dato’ Saifuddin Abdullah

Universiti Malaya 14 Apr 11.30 p.m | Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin bin Abdullah hari ini menyatakan bahawa beliau tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Kenyataan tersebut diucapkan ketika Forum Penyuburan Amalan Demokrasi di Malaysia sempena pelancaran UM Centre of Democracy & Election (UMCEDEL) yang berlangsung di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.

“Sebenarnya AUKU ini sudah 1 tahun 2 bulan digazetkan kepada AUKU pindaan baru, tapi saya pun tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap pindaan yang ada.” Katanya.

Beliau juga berkata, hakikatnya tidak banyak sekatan di dalam AUKU yang dikenakan kepada mahasiswa, kecuali hanya terhadap tiga perkara iaitu menjadi ahli kepada parti politik, menjadi ahli kesatuan sekerja dan menjadi ahli atau memberi sokongan kepada pertubuhan yang disenarai hitamkan oleh pihak Menteri.

“Hal ini bergantung kepada tafsiran terhadap AUKU itu sendiri.” ujar beliau.

Tambahan beliau, pihak menteri juga tidak berhajat untuk menyenarai hitamkan mana-mana pertubuhan daripada mendapat keterlibatan mahasiswa.

Berkenaan dengan sekatan-sekatan terhadap aktiviti yang dijalankan di dalam universiti yang melibatkan orang luar seperti pihak pembangkang, beliau mengatakan bahawa tidak sepatutnya wujud sekatan sedemikian.

“Saya sebenarnya sudah memberitahu pihak universiti, mahasiswa dibenarkan panggil mana-mana wakil daripada pihak pembangkang dan kerajaan. Kalau ada yang halang, beritahu saya.” tegas beliau.


Beliau juga memberi amaran supaya pihak universiti tidak menghalang keterlibatan mahasiswa dan masyarakat sekalipun dalam aktiviti-aktiviti sedemikian.

“Jangan lupa bahawa universiti juga guna duit rakyat.” katanya.

Forum yang dihadiri hampir 200 orang mahasiswa itu dianggap merupakan titik permulaan dalam membangunkan kesedaran politik anak muda di samping mengembalikan semula roh universiti dalam menjunjung tradisi keilmuan. -umtoday

Saturday, April 17, 2010

Pakatan Rakyat Punyai Kelebihan di Hulu Selangor


Proses penamaan calon telah berlangsung dan tamat sekitar pukul 11.30 pagi tadi. suruhanjaya Pilihanraya telah mengumumkan seramai 4 orang calon yang layak bertanding dalam pilihanraya kecil P094 kawasan Hulu Selangor ini. Mereka ialah P Kamalanathan (BN), Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dan dua calon Bebas VS Chandran dan Johan Mohd Diah.

Tempoh kempen sudahpun bermula dan parti politik yang bertanding dilihat sudah bersedia mempersiapkan jentera masing-masing. Bilik gerakan di setiap bahagian telahpun kelihatan untuk dijadikan pusat khidmat dan post jentera.

Dalam perkembangan terbaru, Datuk Zaid Ibrahim dilihat sebagai calon yang berpotensi untuk menang dalam pengundian kali ini. Masalah dalaman MIC berkaitan pemilihan calon masih lagi belum selesai di peringkat akar umbi kerana mereka lebih minat G Palanivel. Keadaan ini menyebabkan ramai jentera mereka yang 'bungkus badan' sebagai tanda protes kepada pimpinan Perdana Menteri kerana memilih calon bukan pilihan.

Zaid Ibrahim dalam kenyataannya semalam menyatakan keyakinan yang tinggi kepada kaum Melayu yang menjadi pemilih majoriti dalam kawasan P094 ini. Isu berkaitan kerajaan Malaysia dengan APCO pun masih lagi belum jelas kepada rakyat, kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional makin menurun.

Walaubagaimanapun semua ini terserah di atas kebijakan rakyat dalam menentukan siapa wakil mereka yang mampu untuk membela dan membawa suara mereka di parlimen nanti. Sama ada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau Ketua Penerangan MIC pusat. Penentu segalanya adalah di tangan rakyat.

Monday, March 29, 2010

Anwar Ibrahim : 2 Malaysia


Pakatan Rakyat membawa slogan 'Selamatkan Malaysia' dilihat memberi tamparan hebat kepada Barisan Nasional apabila mampu menarik perhatian rakyat terhadap segala masalah yang berlaku dalam negara pada masa kini.

Kempen tersebut yang dirasmikan oleh ketua pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kuala Kubu Baru baru-baru ini. Kehadiran masyarakat Hulu Selangor pada malam tersebut menunjukkan sokongan rakyat kepada PR masih lagi tinggi.

Anwar Ibrahim dalam ceramahnya pada malam tersebut meletakkan negara malaysia berada dalam dua dimensi. Dengan nada yang keras beliau menamakannya dengan 2Malaysia. Pertama malaysia yang dikuasai oleh golongan atasan. Mereka ini apabila melakukan apa sahaja kesalahan walau kes berat sekalipun akan terlepas, ujarnya.

Manakala golongan kedua ialah masyarakat seperti kita ni (rakyat biasa). Kalau buat silap mesti kena hukuman yang berat, bukan setakat itu sahaja malahan yang tak dibuat pun difitnah. Beliau mengaitkan perkara ini dengan situasi yang terpaksa dihadapi oleh beliau sendiri.

Walaubagaimanapun asas kepada hal tersebut adalah releven. Jika kita melihat kes-kes yang berprofil tinggi dalam negara kebanyakannya pada permulaanya sahaja mahu disiasat hingga akar umbi, lama kelamaan senyap dan akhirnya kes tersebut selesai tanpa keputusan. Berbeza pula dengan kes yang dihadapi pihak pembangkang walaupun hanya melibatkan tuduhan liar tetapi cepat dan tangkas pula diambil dan dibuka kertas siasatan.

Amalan begini harus dihentikan bagi memberi keyakinan rakyat terhadap mana-mana institusi negara samada polis, tentera, badan kehakiman, peguam negara dan sebagainya. Kerajaan harus bersikap adil terhadap semua perkara, dan saya yakin dengan kematangan rakyat sudah pasti jika kerajaan gagal melaksanakan apa yang sepatutnya maka rakyat akan melakukan keadilan tersebut dalam pilihanraya akan datang.

Tuesday, March 23, 2010

USM Anjur Konvensyen Penghayatan Islam dan Kelestarian


Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) USM telah berjaya menganjurkan satu program yang dapat memberi kesedaran tentang kepentingan alam semulajadi dan juga suruhan agama yang mengajar manusia supaya sentiasa menjaga alam ini daripada kemusnahan.

"...apabila dikatakan kepada mereka : ' janganlah kamu membuat kerosakan di bumi, mereka jawab : ' sesungguhnya kami hanya membuat kebaikan '. Ketahuilah! bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (al-Baqarah : 11-12).

Firman Allah tersebut jelas menunjukkan betapa angkuhnya manusia mentabik dada di atas muka bumi ciptaan tuhan ini. Ciptaan tuhan di muka bumi ini semuanya sedang mengalami kemusnahan yang teruk akibat tangan-tangan manusia yang pantas melakukan pelbagai aktiviti.

Menurut seorang pembentang kertas kerja pada konvensyen tersebut, En. Mohd Nizam Mahshar, terdapat 80 buah negara dengan 40% populasi dunia menderita akibat kekurangan air yang serius. 25% batu karang dunia musnah dengan teruk beberapa dekad yang lalu dan 35% kawasan hutan bakau juga telah pupus pada masa ini. Selain itu, lebih kurang 10-30% spesies mamalia mangalami ancaman dan kepupusan.

Sumber alam tersebut harus dipelihara agar anak muda jenerasi akan datang sempat untuk merasai kehidupan yang sempurna. Keindahan alam harus dijaga supaya ekosistem yang ada dapat berfungsi dengan sempurna dan faedahnya dapat dinikmati sampai bila-bila.

" Dunia ini hijau dan cantik dan tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan (HR Muslim) ".